Saturday, 10 December 2016

TAJUK : MENUNAIKAN AMANAH DAN KERJA DENGAN SEMPURNA

Laporan penuh:  https://docs.google.com/documen/d/13VnHer2YrACPRpR1u0Ei60dOnw3DoKt_BJ7i-BoUk2M/edit?usp=sharing

 
1.0  PENDAHULUAN
Apakah itu amanah? Amanah adalah kepercayaan,kesetiaan, atau ketulusan hati. Amanah dalam bahasa arab bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Manusia tidak boleh elak atau lari dari tidak melaksanakan amanah yang telah diberikan kepadanya. Dengan erti kata lain, amanah ialah tanggungjawab yang diterima seseorang dengan kepercayaan bahawa amanah tersebut dapat dijalankan tanpa mengabaikannya.

Setiap individu pernah diberikan amanah atau kepercayaan untuk dijaga. Amanah itu adakalanya berbentuk titipan benda, rahsia, tugas, jabatan dan sebagainya (M. Ali Hassan,1978). Setiap individu perlu bertanggungjawab dengan amanah masing-masing dan harus menjaganya dengan penuh berhati-hati. Contohnya, tugas atau rahsia sebagai seorang yang diamanahkan oleh kita perlu disimpan dengan cermat dan  tidak leka serta ambil mudah. Amanah harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan bukanya seperti melepaskan batuk di tangga atau sekadar hangat-hangat tahi ayam. Perkara ini perlu dipandang serius dan tidak dianggap remeh walaupun perkara yang sekecil zarah.

Firman Allah S.W.T. :  “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan  hukuman di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat” (An nisa surah 3: 58)

        Perintah Allah menyuruh agar amanah itu disampaikan oleh orang yang sepatutnya dan selayaknya untuk memikul amanah tersebut.

Hadis Rasulullah S.A.W. : Daripada Saidina Ali R.A.  katanya yang bermaksud: Kami duduk bersama Rasulullah S.A.W. muncul seorang dari keluarga Al- Aliyah dan bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, beritahulah padaku apakah sesuatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang palin ringan?” Jawab Rasulullah S.A.W. “Yang paling ringan dan mudah ialah mengucapkan dua kalimah syahadah dan yang paling berat ialah amanah.Sesungguhnya tiada iman bagi orang yang tiada amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak (dipercayai) janjinya.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad ,Al Bazzar dan Tabrani )

            Amanah adalah satu tanggungjawab yang paling berat atau sukar untuk dijaga oleh manusia. Bagi orang yang tidak menjaga amanah dan mengingkari janji amanah yang diberikan dikatakan iman nya adalah sangat rendah dan tidak beragama.


2.0  LATAR BELAKANG VIDEO
Untuk tugasan ini, kumpulan kami telah ditugaskan untuk membuat satu video yang berkaitan dengan tajuk amanah. Kami bersepakat untuk menghasilkan video yang berkaitan dengan kehidupan sebagai pelajar universiti dan terhasillah video selama lebih kurang 5 minit ini.

Video ini ringkasnya berkisarkan tentang Syaza, seorang pelajar universiti dan sikap dia di universiti yang memberi kesan sehingga ke alam pekerjaan.

        Babak pertama mengambil tempat ketika perbincangan untuk pembahagian tugasan kerja. Syaza hanya buat endah tak endah sewaktu pembahagian tugas, dan apabila tiba waktu untuk pengumpulan kerja, dia tidak melaksanakan bahagian dia dan memberi alasan, sedangkan realitinya berbeza. Babak kedua pula berlaku di koridor bangunan kelas. Di situ terdapat kiosk makanan yang mengamalkan konsep layan diri, di mana para pelajar hanya perlu membayar ke dalam peti yang disediakan. Sewaktu kurangnya pelajar yang lalu-lalang di situ, Syaza menuju ke kiosk tersebut dan mengambil makanan tanpa membayarnya.

        Babak seterusnya pula adalah sewaktu peperiksaan di mana Syaza telah meniru di dalam peperiksaan tanpa disedari oleh pensyarah yang menjaga peperiksaan tersebut. Tambahan pula, pensyarah tersebut didapati bermain dengan telefon bimbitnya dan tidak mengawasi peperiksaan dengan baik. Babak akhir pula mengambil waktu apabila Syaza memasuki alam pekerjaan. Kesan daripada sikap dia sewaktu di universiti, Syaza didapati tidak dapat melaksanakan tugasan dia di pejabat dengan sempurna dan dimarahi oleh orang atasannya.


3.0  PERNYATAAN MASALAH

3.1 Masalah dalam universiti

a) Kes kecurian
Melalui pemerhatian kami semua tentang keadaan sekeliling di UiTM Puncak Alam malahan ianya mungkin terjadi di tempat lain iaitu berkaitan dengan kes kecurian yang semakin berleluasa. Misalnya kebanyakan peniaga-peniaga kecil berniaga dengan meletakkan makanan di dalam lif, di kiosk makanan fakulti berserta dengan bekas wang sebagai tempat pembayaran. Isu yang timbul ialah pelajar atau orang luar tidak jujur apabila mereka tidak membayar makanan yang mereka inginkan.

b) Meniru dalam peperiksaan
Sebagai seorang pelajar tidak asing lagi jika dikaitkan dengan peperiksaan. Apabila pelajar mula meniru dalam peperiksaan ini bermaksud pelajar itu masih tidak bersedia atau mereka malas berusaha untuk memahami apa yang mereke belajar. Jadi, untuk untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang tanpa perlu berusaha mereka bertindak untuk meniru dalam peperiksaan. Sepeti yang kita tahu, peperiksaan diadakan adalah untuk menguji tahap kefaham sesorang tentang apa yang mereka telah pelajari. Jika difikir secara rasional, ilmu yang dimiliki itu akan digunakan di alam pekerjaan dan ilmu tersebut akan  memberikan faedah kepada masyarakat dan juga negara. Jika pelajar terus menerus meniru dalam peperikasaan, ini bermaksud tiada peningkatan ilmu pengetahuan dan akan mengakibatkan masalah di masa hadapan seperti kurang berkeyakinan untuk melakukan kerja kerana mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang kukuh.

c) Melakukan tugasan dengan tidak sempurna dan cekap
Pelajar-pelajar yang bermasalah sering dikatakan tidak melakukan tugasan dengan sempurna dan bersikap sambal lewa terhadap tugasan yang diberikan oleh para pensyarah. Secara tidak langsung sikap ini akan memberi kesan yang buruk kepada rakan-rakan yang lain jika tugasan itu diberikan secara berkumpulan. Masalah ini masih relevan dalam kalangan pelajar. Mereka sering tidak ambil peduli dan melengahkan-lengahkan dalam menyiapkan tugasan  itu. Pelajar yang bermasalah ini mengharapkan rakan-rakan mereka untuk menyiapkan tugasan tersebut malah mereka memperolehi markah yang sama walaupun pelajar tersebut tidak menyumbangkan tenaga, idea, kerjasama dan lain-lain dalam menyiapkan tugasan tersebut. Ini menunjukan ketidakadilan dimana pelajar tersebut tidak amanah dengan tugasan yang diberikan.

3.2 Kesan-kesan di masa hadapan apabila mengabaikan konsep amanah

a) Rasuah
Hasil dari masalah-masalah seperti mencuri, meniru dalam peperiksaan dan tidak melakaukan kerja dengan sempurna akan mengakibat kesan-kesan buruk yang mungkin akan berlaku dalam kalangan pelajar di masa hadapan iaitu terjebaknya pelajar tersebut dalam kes rasuah dan pecah amanah. Rasuah merupakan suatu perbuatan keji yang lebih  banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat. Ianya adalah merupakan antara penyebab kemunduran sesebuah negara. Berdasarkan Indeks Korupsi yang dikeluarkan oleh Tranperancy International, Malaysia berada di tangga ke 60 daripada 183 buah negara  dengan skor sebanyak 4.3 berbanding Singapura yang menduduki tempat kelima dengan skor sebanyak 9.2.

Isu Semasa
Buktinya ialah terdapat banyak kes-kes rasuah yang berlaku di Malaysia. Seperti contoh kes rasuah di Sabah. Dimana SPRM telah menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan. Kedua-dua pegawai kanan berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaan itu mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010. Mereka didakwa memonopoli semua projek untuk diserahkan kepada adik-beradik sendiri. Hasil penyalahgunaan kuasa ini yang dipercayai bermula sejak tahun 2010 hingga kini, siasatan awal mempercayai mereka telah mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta. Dalam pada itu, SPRM akan mendapatkan perintahan tahanan reman terhadap keempat-empat individu terlibat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. (MYNEWSHUB.CC)

b) Ketidakjujuran penjawat awam dalam melaksanakan tugas.
Berdasarkan unjuran yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) penjawat awam merupakan kalangan golongan tertinggi yang terlibat di dalam gejala rasuah.

Isu semasa
Berlaku kebocoran kertas peperiksaan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2016. Malahan ianya hampir bocor setiap tahun. Ini menunjukkan sikap tidak jujur oleh penjawat awam iaitu guru, penggubal soalan atau pihak kementerian. Kementerian Pendidikan mengesahkan isi kandungan kertas soalan tersebut tersebar menerusi laman sosial. Setiap tahun kita dengar tentang soalan bocor. Tetapi sebenarnya, Lembaga Peperiksaan meletakkan syarat yang sangat ketat sebelum mengesahkan kebocoran benar-benar terjadi. Oleh kerana itu, mereka terus melakukannya berulang kali kerana mereka percaya mereka boleh lepas dari dikenakan tindakan. Tahun lepas, laporan dibuat selepas kertas Matematik dan Matematik Tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa dibocorkan dalam sebuah seminar.


4.0 PENYELESAIAN MASALAH

4.1 Individu
            Setiap individu terutamanya yang beragama Islam perlu lah mendalami agama dan lebih mengenali sifat-sifat Allah. Sekiranya setiap individu Muslim meyakini bahawa Allah Maha Melihat, tidak akan ada yang berani melakukan penipuan dan tidak amanah dengan diri sendiri. Manusia akan berasa takut untuk melakukan perkara yang tidak bak. Misalnya dalam video yang kami hasilkan, para pelajar tidak akan mencuri meskipun tiada manusia di sekelilingnya dan pelajar juga tidak akan berani meniru dalam peperiksaan. Selain itu, manusia perlu memahami sifat Allah yang lain contohnya Allah Maha Adil. Walaupun mereka terlepas di dunia ini, mereka masih akan mendapat hukuman di alam akhirat nanti. Bagi individu bukan Islam, mereka juga perlu mempunyai pegangan agama yang kuat kerana tiada agama yang mebenarkan umatnya melakukan perkara- perkara yang tidak baik. Oleh itu,pokok pangkalnya adalah setiap individu perlu mempunyai kesedaran sendiri akibat daripada melakukan perkara yang tidak baik.

            Selain itu, setiap individu perlu mengubah pemikiran masing- masing dahulu. Hal ini bermaksud, mereka perlu sedar bahawa sifat tidak amanah ini adalah satu permasalahan yang amat besar. Oleh itu, setiap individu perlu mempunyai keberanian untuk menegur individu yang lain. Tidak ada individu yang suka ditegur apabila mereka berbuat kesalahan. Jadi, ini adalah satu cabaran yang amat besar bagi setiap individu. Jika kita lihat perjuangan Rasulullah s.a.w ketika mahu menyebarkan agama Islam jauh lebih teruk daripada kita yang hanya mahu menegur orang lain. Nabi Muhammad dahulu dicemuh, di caci dan di keji oleh masyarakat Arba pada satu ketika dahulu. Kita pula mungkin akan menghadapi situasi di mana tidak di sukai oleh orang lain. Ianya perjuangan yang amat kecil sekali dan kita perlu yakin bahawa dengan teguran itu, kita akan mendapat ganjaran yang besar sekali daripada Allah.

4.2 Institusi kekeluargaan
Seterusnya, peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan adalah dengan memupuk sifat amanah dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya,jati diri anak-anak perlulah dibentuk sewaktu umur mereka masih kecil lagi. Perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah kenalkan anak dengan hak dan kewajibannya sehingga anak-anak boleh membezakan mana haknya atau bukan haknya. Didik anak agar menjaga hak orang lain dan tidak mempunyai keinginan untuk memiliki barang orang lain. Walaupun mereka terjumpa barangan di tegah jalan, ajak mereka untk mencari pemiliknya. Ada kisah nabi di mana baginda mendidik anak kecil untuk tidak mengambil haknya. ‘Abdullah yang masih kecil disuruh ibunya menyampaikan setandan anggur kepada Rasulullah. Tapi di jalan, mungkin karena kehausan, beberapa anggur dimakan oleh Abdullah. Ketika anggur itu diberikan, Rasulullah mengetahui hal itu. Lalu Rasulullah menjewer telinga Abdullah sambil mengucapkan kalimat, “Hai pengkhianat” sebanyak tiga kali.’

Di samping itu, para ibu bapa boleh melatih anak-anak supaya berpuasa. Latihan ini boleh di latih dari mereka kecil lagi. Puasa menuntut sikap amanah dalam banyak perkara, contohnya ia melatih anak-anak supaya menunggu dan berbuka setelah masuk waktu Maghrib. Bukan itu sahaja, berpuasa dapat mendidik anak-anak supaya tidak berbohong tentang puasa. Oleh itu, anak- anak akan lebih jujur dengan diri mereka dan orang lain kerana telah di didik sedemikian.  Hadits Nabi saw:  “Selalulah kamu jujur, karena sesungguhnya jujur itu mengantarkan kamu pada kebaikan dan kebaikan itu sesungguhnya mengantarkan pada surga. Sedangkan dusta akan mengantarkan pada keburukan dan dosa, dan sesungguhnya dosa itu akan mengantarkan pada neraka. (Mutafaqun Alaih). Bagi ibu bapa pula, puasa dapat mendidik mereka supaya menunaikan hakorang lain yang ada dalam dirinya iaitu dengan membayar zakat.

4.3 Masyarakat
Masyarakat perlu lah sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan bersifat ambil tahu antara satu sama lain. Pada masa kini, Rakan Cop ialah suatu program komuniti polis yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur pada Ogos 2004 untuk membantu dalam membanteras jenayah di ibu kota dan bandar-bandar lain di Malaysia. Objektifnya yang utama ialah untuk memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat bekerjasama dengan polis serta terlibat secara langsung dengan pencegahan jenayah. 'COP' adalah singkatan daripada perkataan Cooper yang diberikan kepada anggota polis.Dengan tertubuhnya Rakan Cop,masyarakat boleh mengambil langkah untuk melaporkan kepada pihak tersebut dengan menelefon hotline mereka.


5.0  DAPATAN

5.1 AMANAH DALAM ASPEK KETAUHIDAN
Kaitan aspek amanah dengan aspek ketauhidan amatlah besar. Tauhid didefinisikan sebagai kepercayaan kepada yang Maha Esa iaitu Allah SWT. Tauhid mampu mempengaruhi akhlak seseorang individu. Setiap mukmin hendaklah mengingati bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Mukmin yang mengetahui dan takut akan kemurkaan dari Allah SWT pasti akan melakukan setiap perbuatan dengan jujur dan amanah. Percaya akan Allah Maha Melihat akan dapat menghindari seseorang itu melakukan perbuatan yang tidak baik. Setiap perbuatan akan diadili oleh Allah SWT di akhirat kelak. Walaupun seseorang itu terlepas dari hukum dunia, semestinya dia tidak terlepas dari hukum Allah SWT. Perbuatan seperti tidak membayar selepas membeli dianggap tidak amanah dan ini akan menjadi darah daging kita yang haram. Kerana itu seseorang itu susah untuk menerima ilmu dan mempunyai sikap yang buruk.

Sebagai pelajar, amanah dalam belajar amatlah penting. Menuntut ilmu merupakan suatu pekerjaan yang tidak perlu lagi diragukan akan keuntungan dan keutamaan yang akan diperoleh darinya.  Islam juga mementingkan umatnya menuntut ilmu. Menuntut ilmu merupakan ciri khas umat terakhir yang menghuni bumi. Peranan kita sebagai pelajar, mencari dan mendalami ilmu sebanyak mungkin. Perbuatan meniru dalam peperiksaan amat besar kesannya kepada kehidupan seseorang. Kesan ini akan berlangsung sehingga ke anak cucu. Keputusan cemerlang yang diperolehi tidak berkat dan ini tanda kita menipu pada diri sendri. Ibu bapa yang bangga atas kejayaan anaknya hanyalah satu penipuan. Kasihani dan ingatlah ibu bapa yang banyak mengorbankan apa sahaja untuk anaknya.

Seterusnya, amanah di alam pekerjaan.  Asas yang paling utama di dalam kecermelangan dan keprofesionalan pekerjaan, bergantung kepada penunaian amanah dan tangungjawab yang diberikan. Sekiranya seorang staff itu cuai dalam menunaikan amanah bermakna dia seorang yang gagal, dan akan dipersoalkan nanti di akhirat. Sebagai contoh, amanah pensyarah dalam menjaga peperiksaan. Mereka hanyalah mengawal dengan sambil lewa dan bergosip. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mereka menganggap perkara ini kecil. Namun mengetahuilah bahawa setiap perbuatan  sekecil zahrah sekali pun akan dihisab oleh Allah kelak.

5.2 AMANAH DALAM ASPEK KASIH SAYANG
Amanah adalah satu perkataan umum tetapi memegang satu tanggungjawab yang besar apatah lagi tanggungjawab ini dikaitkan dengan agama. Tetapi apa pula kaitannya dengan nilai kasih sayang? Kasih sayang adalah sikap saling menghormati dan mengasihi semua ciptaan Tuhan baik makhluk hidup mahupun mati seperti menyayangi diri sendiri berlandaskan hati yang luhur. Kasih sayang boleh dikaitkan sama ada dengan memberi ataupun menerima. Percaya atau tidak, melalui kasih sayang juga dapat membentuk peribadi seseorang tambahan lagi pada anak-anak kecil yang baru mengenali dunia.

Kasih sayang pertama adalah semestinya daripada Allah S.W.T.. Sifat Maha Penyayang Allah S.W.T. kepada umatNya tidak dapat disangkal. Sebagai contoh, walaupun hambaNya tidak amanah dalam melakukan pekerjaan tetapi pada akhirnya Allah S.W.T. tetap memberi kejayaan kepada hambaNya. Walau bagaimanapun, nikmat ini hanyalah istidraj dan sebagai hambaNya hendaklah menyedari dan memohon taubat daripada Allah S.W.T..  Allah S.W.T. yang bersifat Maha Pengampun dan Maha Penyayang pastinya akan mangampuni dosa-dosa umatNya yang bertaubat.

Selain itu, dapat juga dilihat dalam video ini sekumpulan rakan memaafkan rakan mereka apabila rakan mereka tidak menyiapkan kerja. Hal ini tidak dinyatakan secara lisan tetapi melalui perbuatan mereka dengan menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada rakan mereka. Kasih sayang ini bukanlah menandakan bahawa mereka menyokong sifat tidak amanah yang dipertunjukkan tetapi menunjukkan tanggungjawab sesama mereka dan juga amanah dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan.

Kasih sayang mampu membentuk sesuatu sifat peribadi yang baik seperti amanah. Sebagai cotoh, kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Benarlah jika ada pepatah berkata memupuk buluh biarlah dari rebungnya, benarlah jika ibu bapa seharusnya memupuk anak-anak mereka semejak mereka masih kecil lagi. Kain yang putih elok diwarnakan dengan warna yang cantik. Adakah dengan kekasaran dan nilai yang tidak baik mampu mencorakkan sifat yang baik ini? Tidak. Kasih sayang ibu bapa adalah faktor utama yang membentuk keperibadian seseorang ini. Sebagaimana nilai-nilai ini diterima begitulah juga akan dicorakkan.

5.3 AMANAH DALAM ASPEK KEBIJAKSANAAN
Berdasarkan video yang telah dibuat, dapat saya simpulkan bahawa amanah sangat berkait rapat dengan sikap bijaksana. Malah kedua-dua sikap ini merupakan di antara empat sifat mulia Rasulullah SAW Siddiq (benar) , Amanah (dipercayai) , Tabligh (menyampaikan) dan Fathonah (bijaksana). Pemimpin yang amanah dan bijaksana sangat dijunjung oleh masyarakat kerana setiap kata yang dijanjikan oleh pemimpin tersebut dapat dipercayai dan terbukti kesahihannya. Perkaitan antara amanah dan bijaksana di dalam video dapat kita lihat melalui situasi di mana watak utama cuba untuk meniru dalam peperiksaan. Perbuatan meniru itu membuktikan bukan sahaja dia tidak amanah dalam belajar malah dia juga tidak dapat membuktikkan kemampuan dirinya yang sebenar. Selain itu, segala apa ilmu yang pelajar itu perolehi tidak mendapat keberkatan . Hal ini boleh menjejaskan kehidupan kita pada masa hadapan kerana walau setinggi manapun pencapaian kita kelak kita akan sentiasa dibelenggu masalah dan tidak tenteram kerana pencapaian kita itu adalah hasil daripada ilmu yang tidak berkat.

Selain itu, amanah dan bijaksana juga berkait rapat dengan sistem pengurusan masa. Amanah dalam menepati masa merupakan elemen yang penting dalam setiap peringkat kehidupan sama ada sewaktu kita belajar mahupun di alam pekerjaan. Seseorang yang menepati masa juga mudah dipercayai orang.Dia mudah diberi peluang untuk melakukan kerja penting kerana dia dapat menjalankan sesuatu kerja dalam tempoh masa yang diberikan. Tanpa sikap amanah , kebolehan seseorang itu tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya.  Contoh berdasarkan video ialah situasi di mana watak utama dimarahi oleh bosnya kerana gagal menyiapkan kerja mengikut tempoh yang ditetapkan dan gagal melaksanakan kerja mengikut kriteria yang diminta. Hal ini menunjukkan kelemahan watak utama dalam menguruskan masa telah menjejaskan prestasi serta kualiti kerjanya. Walaupun dia merupakan pelajar yang cemerlang tetapi oleh kerana kuliti kerja yang teruk membuatkan dia dimarahi bosnya.


6.0  PERBINCANGAN / REFLEKSI

Saya mempelajari mengenai betapa pentingnya  memahami tugas sebagai seorang pelajar. Sebagai seorang pelajar, kita hendaklah amanah dalam melakukan sesuatu tugasan yand diberi oleh pensyarah. Kita sudah tahu bahawa kebanyakan pelajar suka akan menyiapkan tugasan di saat akhir. Kesannya, kualiti tugasan itu tidak bermutu. Sepanjang proses menyiapkan tugasan yang Ustazah Mahfuzah berikan, saya dan ahli kumpulan yang lain cuba untuk siapkan sebelum tarikh akhir. Kepercayaan yang diamanahkan oleh ibu bapa dan pensyarah merupakan tulang belakang kepada seseorang pelajar. Justeru itu, pelajar itu hendaklah memahami dan mempraktikkan tugas sebagai pelajar dengan amanah dan telus. (Hidayatul Fatihah Binti Ahmad Rosni)

Apa yang telah saya pelajari sepanjang dalam proses pembikinan video ini adalah pentingnya untuk memahami tajuk yang diberikan. Sebagai contoh, sebelum melakukan video ini dan merealisasikan babak dalam video ini sepatutnya kita lebih tahu mengenai tajuk yang ingin yang dlakukan. Sekiranya masih terumabng ambing dalam memahami tajuk yang ingin dipersembahkan, babak babak dalam video tidak akan dapat direalisasikan kerana kekurangan pemahaman mengenai tajuk. Selain itu, sepanjang video ini juga saya mempelajari lebih banyk mengenai tajuk yang diberikan iaitu amanah. Hal-hal yang mungkin tidak pernah diketahui sebelum ini dapat saya ketahui melalui sepanjang pembikinan video ini. (Aida Rasyiqah binti Mansor)

Hasil daripada perlaksanaan projek ini, saya telah mempelajari pelbagai nilai nilai murni yang dapat mempengaruhi kita di masa hadapan. Konsep yang di tekankan dalam projek ini ialah konsep amanah. Salah satu element yang terdapat dalam hasil kerja kami ialah sikap dalam kalangan pelajar pelajar yang gemar meniru ketika peperiksaan. Ini menunjukkan sikap yang kurang beretika malahan di murkai oleh Allah SWT kerana ianya melibatkan dengan konsep Amanah. Tidak amanah adalah satu dosa yang sangat dimurkai oleh Allah. Secara konklusinya, apabila kita tidak melatih diri kita untuk bersikap amanah kepada diri sendiri, masyarakat dan terutama sekali kepada Allah, kita akan menanam atau membaja sikap ini sehinggakan mampu memberi impak yang sangat besar di masa hadapan dimana akan lahirnya golongan-golongan yang akan terjebak dalam kes pecah amanah atau rasuah. Hal ini akan memberi impak kepada masyarakat iaitu akan berlakunya penindasan. Golangan miskin dan sederhana akan ditindas, manakala golongan kaya makin terus kaya dengan adanya rasuah ini. (Nur Syafiqa binti Dzulkifli)

Antara perkara yang saya pelajari ialah kepentingan menepati waktu . Sikap amanah sangat berkait rapat dengan sikap menepati waktu . Menepati waktu merupakan elemen yang sangat penting dalam kehidupan kita kerana jika kita gagal menepati waktu secara tidak langsung kita juga gagal dalam menjalankan amanah yang diberi. Pengurusan masa yang efektif dapat mengelakkan masalah dan mendidik kita untuk  lebih berdisplin . Seseorang yang menepati masa pasti akan berjaya dalam hidup kerana setiap saat akan terisi dengan aktiviti yang berfaedah . Masa yang sudah berlalu tidak akan kembali. Oleh itu,kita mesti bijak memanfaatkan masa. Seseorang yang menepati masa tidak akan kerugian. (Anis Shahirah binti Mohd Shahadan)

Daripada video tersebut, saya telah mempelajari nilai kerjasama amat penting dalam melakukan tugasan berkumpulan. Hal ini kerana, markah yang akan diberikan oleh para pensyarah adalah sama bagi setiap ahli kumpulan. Sekiranya ada ahli kumpulan yang lepas tangan dalam menyiapkan tugasan tersebut, ianya akan menjadi tidak adil bagi ahli kumpulan yang lain. Markah tersebut akan memberikan kesan kepada gred purata pada semester itu. Meskipun pelajar tersebut akan mendapat purata yang tinggi, tiada keberkatan untuknya kerana dia tidak amanah dengan Allah dan paling penting sekali dia tidak jujur dengan diri sendiri. Jadi, dengan melakukan video ini bersama ahli kumpulan yang lain, ia memperingatkan diri saya sendiri supaya jujur dan amanah selama berada di alam universiti ini. Sifat yang di latih di alam universiti ini sedikit banyak membentuk sifat kita pada masa depan terutamanya di alam pekerjaan dan apabila berkeluarga kelak. (Nur Ain Adilla binti Ismail)

        Sepanjang pembuatan dan penyempurnaan tugasan ini, banyak perkara dan nilai yang telah saya pelajari. Salah satu daripadanya adalah saya dapat mengenali rakan-rakan sekumpulan saya dengan lebih baik. Walaupun di luar kami sudah mengenali antara satu sama lain, ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka dalam satu tugasan. Melalui tugasan ini, saya dapat mengetahui dan mempelajari perkara baru tentang rakan-rakan saya. Saya dapat lihat ciri-ciri kepimpinan, kerjasama, sifat menepati janji dan ciri-ciri mahmudah yang lain daripada mereka dan secara tidak langsung, saya juga muhasabah diri saya untuk mempunyai dan menerapkan ciri-ciri tersebut dalam diri saya. (Nor Adlina binti Mohd Zainuri)
              
                Sepanjang penyempurnaan tugasan video yang diberi ini, saya telah mempelajari betapa pentingnya untuk menyiapkan apa-apa tugasan yang diberi dengan awal dan tidak berlengah-lengah. Ustazah telah memberi tugasan ini pada awal semester lagi, tetapi kami sebagai pelajar mengambil sikap sambil lewa hingga akhir sekali memberi kesan kepada persediaan tugasan ini. Tugasan ini hanya siap apabila Ustazah memberitahu semua pelajar untuk membentangkan pada minggu ke-12 sahaja. Oleh kerana kesuntukan masa, tugasan ini telah disiapkan dengan tergesa-gesa. Namun begitu, kami sekumpulan telah berbincang mengenai tugasan ini terlebih dahulu yang telah membuatkan proses penyiapan video ini menjadi lebih lancar. Tidak dapat saya bayangkan jikalau kami tidak berbincang mengenai tugasan ini terlebih dahulu. Tambahan pula, kami sekumpulan tidak menunjukkan persediaan yang rapi apabila membuat pembentangan kerana tidak membawa laptop dan hanya mengharapkan laptop pensyarah. Saya telah mempelajari bahawa saya tidak boleh mengharapkan pensyarah akan membenarkan para pelajar menggunakan laptop mereka. Jadi dengan itu, persediaan yang rapi sangat penting untuk tidak menyusahkan mana-mana pihak dan tugasan hendaklah dilakukan serta merta tanpa berlengah pada saat akhir. (Nur Syaza binti Zulkifli)



7.0  KESIMPULAN / PENUTUP
  Kesimpulannya, setiap orang perlu amanah dengan melaksanakan tangungjawab masing-masing. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Dengan sifat amanah, setiap individu akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Masyarakat pula akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni seterusnya akan menjaga kestabilan politik dan ekonomi dalam negara. Islam amat menekankan sifat amanah kerana kesannya begitu besar apabila ada individu yang tidak amanah dalam kehidupan sehariannya. Sebagai umat Islam, kita perlu yakin dan faham konsep kehidupan kita sebenar di dunia adalah untuk mengumpul bekalan akhirat kelak. Kita juga terikat dengan perjanjian azali di mana kita telah berikrar untuk mengEsakan Allah. Setelah kehidupan dunia, kita akan dibangkitkan semula dan segala perbuatan ketika di dunia akan disoal oleh Allah semula. Balasan yang baik pasti diberikan kepada hamba Allah yang sentiasa menuruti perintahnya.  Oleh itu, amanah yang telah dianugerahkan oleh Allah perlu kita laksanakan sebaik mungkin dan jangan disia-siakan.

Hadis rasulullah s.a.w
“Berikanlah padaku enam jaminan dari diri kamu , aku menjamin surga untuk kamu. Pertama, benar bila berkata, menepati janji, menunaikan amanah,pejamkan mata kamu daripada yang ditegah ,pelihara faraj(kemaluan)kamu dan tahan dengan tangan kamu(kuasa).
Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban Al-Hakim dan Al-Baihaiqi