Soalan : Dalam Wawasan 2020, 9 cabaran, analisakan setakat
mana keupayaan rakyat Malaysia menghadapi 9 cabaran tersebut?
CABARAN
PERTAMA
Membentuk
Negara Malaysia yang bersatu padu serta satu bangsa Malaysia yang mempunyai
kesetian politik dan dedikasi kepada Negara.
Cabaran bagi
membentuk negara Malaysia bersatu padu memberikan definisi kepada kita bahawa
negara kita mempunyai cabaran untuk membentuk satu bangsa yang dikenali sebagai
bangsa Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum. Cabaran ini merupakan
asas kepada pembentukan negara yang maju. Negara tidak mungkin dapat membangun
di dalam apa bidang sekalipun sekiranya rakyat tidak dapat bersatu hati dan
enggan bekerjasama. Cabaran ini dilihat sebagai satu cabaran yang berterusan
kerana setiap kaum di Malaysia ingin mengekalkan identiti mereka yang
tersendiri dari masa ke semasa. Negara yang boleh kita ambil contoh di mana ia
dapat menyatupadukan rakyatnya yang berbilang kaum dan suku ialah Indonesia.
Jika kita tanya apakah bangsa mereka, sudah tentu mereka menjawab mereka
berbangsa Indonesia.
Kerajaan telah
mengambil beberapa inisiatif untuk menyatupadukan rakyat misalnya
memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasonal. DPN telah
dilancarkan oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991 bagi meneruskan hasrat
yang terkandung di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan
penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan
ekonomi antara kaum sebagai langkah pengukuhan perpaduan negara. Dari sini kita
dapat lihat, sekiranya jurang ekonomi rakyat di negara kita dapat dirapatkan,
maka rakyat di negara ini akan lebih bersatu padu. Dengan mengurangkan jurang
yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan
luar, ia berupaya membangun sebuah masyarakat progresif di mana kesejahteraan
dinikmati oleh semua rakyat di samping memiliki sikap dan nilai kerohanian yang
positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara
CABARAN
KEDUA
Mewujudkan
sebuah masyarakat yang berjiwa bebas , tenteram dan maju dengan keyakinan
terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai
masalah.
Cabaran kedua
ini jelas tertumpu kepada faktor pembinaan insan, faktor kejiwaan dan pembinaan
semangat rakyat sebagai syarat penting di dalam pembinaan Negara maju. Berjiwa bebas
memberi maksud negara mahukan jiwa rakyat tidak terkonkong dan terbelenggu
dengan sesuatu fahaman sehingga menolak pembaharuan dan kemajuan. Oleh kerana
kita sudah lama di jajah, ia sedikit sebanyak membunuh keyakinan rakyat
terhadap diri sendiri. Jiwa tenteram juga amat penting bagi seseorang individu.
Kita sedang menyaksikan bagaimana sesetengah masyarakat di dunia kucar-kacir
akibat pembangunan fizikal tidak disembangi dengan pembinaan jiwa dan kekuatan
rohani bagai menghadapi pelbagai cabaran.Ketenteraman jiwa juga berkait rapat
dengan pembentukan akhlak dan penyuburan iman supaya sentiasa tidak hilang
pedoman hidup. Ketenteraman dan ketenangan fikiran juga akan memungkinkan
pelbagai penemuan idea dan inovasi yang meningkatkan lagi taraf kehidupan
manusia. Wawasan 2020 juga bertujuan melahirkan
satu bangsa yang kuat, kukuh dan tahan menghadapi segala ujian.Kegagahan juga
bererti ketahanan fizikal dan mental, serta kekuatan dari segi kerohanian dan
kejiwaan. Antara usaha kerajaan bagi cabaran kedua ini adalah dengan
melaksanakan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir di
mana ia sebagai satu usaha mengalihkan pandangan rakyat dari terlalu
membesarkan kemajuan negara Barat. Rakyat diminta supaya beralih untuk melihat
kebaikan yang terdapat di negara-negaraTimur seperti Jepun dan Korea. Dasar
Pandang keTimur ialah usaha untuk mencari kekuatan dari nilai-nilai ketimuran
termasuk nilai-nilai positif yang kita warisi dari peradaban kita sendiri.
Cara untuk
mengecapi erti kebebasan yang sebenarnya ialah dengan membina kekuatan di
bidang ilmu pengetahuan, ekonomi dan kejiwaan. Dengan penguasaan ilmu tersebut,
kita akan bebeas untuk meneraju negara kita sendiri dan mampu berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Para remaja seharusnya belajar
dengan bersungguh-sungguh kerana merekalah bakal pemimpin di negara kita. Sebaliknya,
sekiranya rakyat lemah dalam ilmu pengetahuan, ia akan menyebabkan kita akan
terus bergantung kepada negara lain. Cabaran
kedua ini membuktikan bahawa Wawasan 2020 bukanlahsemata-mata wawasan ekonomi
yang tertumpu kepada pembangunan negara perindustriansemata-mata. Ianya tetap
mementingkan aspek kerohanian dan pembinaan sikap positif serta nilai-nilai
murni bagi mencapai kebahagiaan yang sebenarnya
CABARAN
KETIGA
Membentuk
dan memperkembangkan sebuah masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan
satu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul, berasaskan muafakat dan musyawarah,
dan dapat dicontohi oleh banyak Negara membangun.
Cabaran ini
merujuk kepada corak Kerajaan dan pentadbiran kerana sebuah kerajaan yang
bersih dan mantap adalah amat penting di dalam perjalanan dan pembangunan
sesebuah negara. Kerajaan memegang teraju dan menentukan perjalanan negara.
Kestabilan kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan di dalam usaha kita
untuk menuju taraf negara maju. Oleh kerana itulah, Malaysia perlu
mempunyai kerajaan yang kuat yang dapat melindungi dan meninggikan taraf hidup
rakyat. Kita berpegang kepada sistem demokrasi kerana kita yakin bahawa ia
adalah sistem yang terbaik. Rakyat Malaysia amat mengharapkan yang kemurnian
demokrasi di negara ini akan terus terpelihara. Rakyat diberi hak untuk memilih
Kerajaan kerana kita ingin memelihara hak sebagai warga negara Malaysia yang
berdaulat. Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang adalah
cita-cita kita bersama. Dengan sistem demokratik yang matang bererti rakyat
memiliki kebebasan dalam memilih kerajaan yang akan memegang teraju
pemerintahan negara. Rakyat juga memiliki kebebasan untuk melahirkan pendapat
dan idea. Kematangan di sini menunjukkan bahawa idea yang disuarakan oleh
rakyat itu pula adalah idea yang matang dan bernas. Kematangan juga bererti
rakyat menyuarakan sesuatu dengan penuh rasa tanggungjawab, dengan fikiran yang
waras dan berlandaskan kepada kebenaran. Mereka menyuarakan sesuatu hanya
setelah berfikir dengan teliti dan rasional dan sentiasa mengutamakan kepentingan
golongan terbanyak.
Oleh kerana
negara kita mempunyai system demokrasi, Hanya warganegara Malaysia sahaja
yang berhak dan mereka boleh menyarankan pendirian mereka dengan cara yang
tertib khususnya melalui proses pilihanraya yang diperuntukkanoleh
Perlembagaan. Walau bagaimanapun kita merasa agak kesal bila mengetahui masih
ramai rakyat negara ini yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Kita merasa
hairan kerana peratus rakyat yang keluar mengundi adalah rendah. Ada juga
di antara mereka yang sengaja membuat undian rosak. Seharusnya semua rakyat
perlu ada sifat tanggungjawab untuk mengundi kerana undia kita akan mentukan
pemimpin yang akan mencorakkan pemerintahan negara dan juga nasib rakyat.
CABARAN
KEEMPAT
Mewujudkan
masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya, dengan para warganegaranya
mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan didorong oleh standard
etika paling tinggi.
Cita-cita
Wawasan 2020 ialah untuk membina Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian
yang maju dengan taraf ekonomi yang mampan. Namun begitu matlamat yang ingin
dicapai oleh Wawasan ini bukanlah di bidang ekonomi semata-mata kerana kemajuan
yang dicita-citakan meliputi segenap bidang kehidupan. Perdana Menteri sering
menjelaskan bahawa konsep maju yang sebenarnya ialah maju dari segi ekonomi,
maruah dan martabat sebagai suatu bangsa yang dihormati. Pencapaian kebendaan
atau ekonomi semata-mata tidak menggambarkan atau membuktikan kemajuan yang
sebenarnya. Apalah ertinya kekayaan material jika kehidupan anggota masyarakat
terancam oleh berbagai jenayah yang berlaku di sekeliling mereka. Berjuta-juta rakyat
menghadapi tekanan jiwa kerana berlaku berbagai masalah sosial seperti
perpecahan keluarga. Fenomena yang berlaku di negara-negara maju pada masa ini
seolah-olah menunjukkan bahawa semakin maju keupayaan teknologi manusia,
semakin lemah daya tahan moralnya. Semakin maju sesebuah negara, semakin
canggih pula cara penyelewengan dan penipuan yang berlaku di dalam bidang
perdagangan atau politik.
Tercapai ataupun
tidak cita –cita ini terletak pada bahu rakyat sendiri. Rakyat merupakan faktor
yang paling penting dalam menjayakan wawasan 2020. Jika negara kita mempunyai
kecanggihan teknologi dan system ekonomi yang tinggi, cita cita ini tetap tidak
akan mampu dicapai seandainya rakyat tidak mengamalkan nilai-nilai murni
seperti kejujuran, kerajinan, berdisiplin, amanah dan sebagainya. Jadi, apa
yang perlu dilakukan adalah berbalik kepada asas pembentukan masyarakat semula di
mana pegangan agama menjadi tonggak pembangunan seseorang individu. Bagi orang
Islam, mereka perlu bertauhid kepada Allah seterusnya ia akan membentuk akhlak
seseorang individe tersebut.
CABARAN
KELIMA
Mewujudkan
sebuah masyarakat matang yang bersifat liberal dan toleran, dengan setiap
rakyat Malaysia bebas mengamalkan adat kebudayaan dan kepercayaan agama
masing-masing, dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu
Negara.
Masyarakat
yang matang bererti masyarakat yang dapat berfikir secara rasional dan tidak
emosional. Mereka berfikiran luas dan sentiasa menimbangkan dengan saksama sama
ada sesuatu tindakan itu akan membawa kebaikan kepada semua rakyat. Masyarakat
yang matang tidak akan bertindak dengan melulu tanpa berfikir panjang. Masyarakat
Liberal bererti masyarakat yang telah bebaskan diri dari fahaman yang sempit.
Masyarakat yang liberal akan berfikiran terbuka untuk menerima pengetahuan
baru, dan sentiasa bersedia menimbang buah fikiran yang diberikan oleh orang
lain. Seperti yang kita maklum, rakyat Malaysia menganut berbilang agama.
Perlembagaan Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di samping memberi
kebebasan kepada penganut-penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka.
Hal ini tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada perpaduan negara kerana
semua agama mengajar manusia untuk berbaik-baik di antara satu sama lain.
Rakyat Malaysia boleh mengamalkan nilai-nilai murni yang diajar oleh agama
masing-masing.
Untuk
membentuk sikap saling memahami dan menghormati adat resam dan kebudayaan antara
kaum, kerajaan telah menubuhkan sekolah
kebangsaan yang bertujuan untuk mewujudkan perpaduan dan persefahaman di
kalangan rakyat berbilang kaum. Bukan itu sahaja, ianya bertujuan untuk
menggalakkan interaksi yang maksimum di kalangan warga sekolah melalui
perkongsian peralatan dan kemudahan di sekolah mahupun melalui perlaksanaan
aktiviti yang di jalankan di sekolah. Selain itu, media massa mempunyai peranan
penting di dalam menangani cabaran kelima ini. Media massa boleh mendidik dan
menyuburkan nilai-nilai murni seperti hormat menghormati, bertolak ansur dan
bertoleransi. Media massa patut mendedahkan anak-anak kepada aspek-aspek budaya
lain supaya mereka lebih memahami dan dapat menerima cara hidup yang berlainan.
Pepatah Melayu ada menyatakan, “ Tak kenal maka tak cinta”
CABARAN
KEENAM
Mewjudkan
masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang berdaya cipta dan berpandangan
jauh, yakni masyarakat yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi malah
menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
Cabaran
ini bukan mengkehendaki rakyat Malaysia supaya menerima dan menggunapakai sains
dan teknologi malahan mengkehendaki mereka untuk menjadi penyumbang kepada
tamadun teknologi dunia masa kini. Pelbagai inisiatif telah di ambil oleh pihak
kerajaan di dalam membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif.
Antara inisiatif yang di ambil ialah membangunkan sebuah bandar pintar yang
dikenali sebagai Cyberjaya, pengurangan cukai pendapatan melalui pembelian computer
dan juga cadangan untuk menghantar rakyat Malaysia ke angkasa lepas.
Dr. Mahathir
sentiasa menekankan kepentingan berjiwa maju dan menguasai ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya tanpa ilmu pengetahuan kemajuan tidak mungkin tercapai. Masyarakat
Malaysia perlu bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan menguasai
teknologi serta sentiasa berfikir dan mencipta sesuatu yang lebih baik.
Pengetahuan yang saintifik adalah penting untuk membina generasi yang mempunyai
kecekapan dan kemahiran di dalam berbagai-bagai bidang. Tanpa ilmu dan
pengetahuan saintifik masyarakat tidak mungkin mencapai kejayaan dan
kecemerlangan. Dengan ilmu yang saintifik dan pemikiran yang kreatif manusia
akan mendapat penemuan-penemuan baru yang memberi manfaat kepada kehidupan.
CABARAN
KETUJUH
Membentuk
sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat yang lebih mementingkan masyarakat daripada
diri sendiri
Y.A.B. Dr. Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang
sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri
dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan
tetapi sekeliling sistem keluarga yang kukuh. Dengan kata lain masyarakat
penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya
yang mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling faham memahami dan
hormat-menghormati. Yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang
muda. Individu di dalam sebuah masyarakat penyayang tidak hanya mementingkan
dirinya sendiri sahaja. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang jelas akan
membawa bencana kepada orang-orang di sekeliling.
Bermula dengan kempen berbudi bahasa
di kalangan kakitangan kerajaan, beberapa langkah telah mula diatur bagi
menerapkan nilai berbudi dan berbudaya penyayang di kalangan rakyat Malaysia.
Melalui kempen berbudi bahasa ini, kakitangan kerajaan telah dinasihatkan agar
lebih mesra kepada pelanggan mereka yang terdiri dari pelbagai lapisan
masyarakat. Kempen keluarga penyayang juga diperkenalkan bagi menerap nilai
murni dan mesra di kalangan keluarga masyarakat Malaysia. Jika institusi
kekeluargaan Malaysia tidak aman bagaimana pula hendak mencapai matlamat kerajaan
untuk menjadikan Malaysia maju menjelang tahun 2020. Kita sebagai rakyat
Malaysia yang ingin melihat negara kita maju di tahun 2020 di samping ingin
melihat institusi masyarakat kita disegani dengan nilai budi pekerti yang
tinggi dan berbudaya penyayang ini haruslah menyokong usaha kerajaan ini.
Caranya ialah dengan memulakan usaha – usaha ini dengan keluarga kita
sendiri.Ini kerana keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat dan
masyarakat adalah asas kepada pembentukan keluarga
CABARAN
KELAPAN
Membentuk
sebuah masyarakat yang adil ekonominya, yakni masyarakat yang melaksanakan
pengagihan kekayaan Negara secara adil lagi saksama.
Cabaran ini merupakan cabaran yang
besar kerana pengwujudan masyarakat yang adil ekonominya sangat penting . Ini
bagi memastikan supaya Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020 tidak
wujud keadaan di mana ada segolongan rakyat yang tercicir di era kemajuan
negara. Cabaran ini mengkehendaki Malaysia agar dapat atau berjaya mengagihkan
kekakayaan negara sama adil dan sama rata kepada seluruh rakyatnya. Ini bermakna
tidak ada rakyat pun ada merasakan mereka tertindas di sebalik kemajuan yang
dikecapi oleh Malaysia.
Langkah kerajaan memperkenalkan
Dasar Pembangunan Negara atau lebih dikenali dengan nama barunya Dasar Wawasan
Negara pada Rancangan Malaysia Keenam ini, dilihat sebagai titik tolak kepada
keadilan dalam sosio ekonomi rakyat Malaysia ini. Antara sasaran dasar ini
ialah pemilikan ekuiti sebanyak 30% oleh bumiputra menjelang tahun 2020.Ini
dilihat dapat meningkatkan tahap ekonomi kaum bumiputra sebagai memelihara
ketuanan kaum ni di dalam menuju ke wawasan 2020.Dasar Wawasan Negara ini juga
mengkehendaki syarikat – syarikat agar mempunyai sekurang – kurang 30% dari
keseluruhan warga kerja mereka adalah terdiri dari golongan kaum bumiputra. Ini
dilihat sebagai satu usaha untuk memperseimbangkan golongan professional di
kalangan rakyat Malaysia. Keseimbangan ini dapat menjamin kemajuan dikecapi
dapat dirasai oleh setiap orang yang berlainan bangsa di negara kita
CABARAN KESEMBILAN
membentuk
sebuah masyarakat yang makmur, dengan ekonominya yang mampu menghadapi
persaingan, bersifat dinamik dan mempunyai daya ketahanan.
Cabaran ini
jelas menunjukkan bahawa kerajaan mengambil serius tentang keseimbangan dari
aspek ekonomi,politik dan sosiobudaya di Negara kita.Kadar pertumbuhan ekonomi
yang tinggi ini sebenarnya tidak cukup untuk mengubah struktur sosioekonomi
yang diwarisi daripada penjajah.Dasar-dasar yang dilaksanakan ternyata tidak
memadai untuk memenuhi matlamat mengurangkan pengangguran,pengagihan pendapatan
secara adil dan mengurangkan kadar kemiskinan.Fasa Rancangan Pembangunan Lima
Tahun Negara antara tahun 1956 hingga 2010 ialah Rancangan Pembangunan Negara
Fasa Pertama (1956-1970),Rancangan Pembangunan Negara Fasa Kedua (1971-1990)
dan Rancangan Pembangunan Negara Fasa Ketiga (1991-2010).Pelaksanaan Dasar
Wawasan 2020 merupakan dasar yang meneruskan aspirasi Dasar Ekonomi Baru dan
Dasar Pembangunan Negara untuk mewujudkan masyarakat bersatu
padu,adil dan saksama.Dalam kandungan DEB adalah bermatlamat untuk membasmi
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.Teras DEB adalah untuk mencapai
perpaduan Negara dan keharmonian social melalui pembangunan sosoiekonomi yang
seimbang di Malaysia.Ia juga dilaksanakan bagi memastikan kekayaan dan peluang
ekonomi di Negara kita dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh pelbagai etnik.Jelaslah
bahawa kerajaan menitikberatkan keadilan semua masyarakat dalam aspek ekonomi
bagi menghadapi persaingan dan mempunyai daya ketahanan.Salah satu dasar ialah
DEB dimana perlaksanaannya berhasil apabila dapat dilihat keseluruhan kadar
kemiskinan mutlak di Malaysia telah menurun dan meningkatkan pendapatan
masyarakat seterusnya meningkatkan ekonomi Negara pada peringkat global.
Terima kasih atas perkongsian. Moga sentiasa berada di bawah rahmat dan kasih sayang Allah
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian ini, s
ReplyDelete