Saturday, 29 October 2016

RANG UNDANG-UNDANG (RUU) PENGGUBALAN AKTA 355



Polimek yang timbul ke atas Penggubalan Rang Undang-Undang 355?



Akta 355 terletak di bawah Mahkamah Syariah (bidang Kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1984) mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah dan mahkamah syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman disebutkan. Memandangkan pindaan terakhir (1984) dibuat lebih 30 tahun lalu dan kadar hukumannya sudah tidak lagi memberi makna dan tidak lagi digeruni oleh pesalah yang dihadapkan ke mahkamah syariah – maka cadangan pindaan ini sudah sampai masanya.
Sebenarnya, hukuman yang ada sekarang adalah pindaan kepada sebelum ini (1965) yang penjaranya hanya 6 bulan dan denda dihadkan kepada RM1,000.00.



Polimek yang timbul ke atas Penggubalan Rang Undang-Undang 355?

1.      Hukum hudud

Menurut sesetengah ahli politik belum sampai masanya lagi untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia. Namun, adakah hukuman yang sedia ada cukup untuk membendung masalah gejala sosial yang semakin berleluasa? Dari tahun ke tahun , statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah semakin meningkat. Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920). Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16, 541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

Terdapat 6 kesalahan hudud yang dinyatakan dalam sumber perundangan Islam. 4 daripadanya telah sedia ada dalam enakmen setiap negeri iaitu zina, qazaf, minum arak dan murtad. Empat kesalahan ini tertakluk kepada formula 356. Kalau mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) yang cuba mencapai ideal hukuman hudud, hukuman bagi kesalahan qazaf ialah 80 sebatan. Meminum arak pula 40 sehingga 80 sebatan. Kesalahan zina bagi yang berkahwin direjam sehingga mati sementara yang tidak berkahwin 100 sebatan. Kesalahan murtad pula, harta dirampas atau penjara tiada had.
Sekiranya Rang Undang-Undang diluluskan, pihak negeri boleh meminda hukuman bagi 4 kesalahan hudud tersebut kepada hukuman hudud kecuali hukuman mati untuk penzina yang sudah berkahwin. Setakat ini, hanya negeri Kelantan yang sudah boleh melaksanakan 4 kesalahan hudud tersebut sekiranya RUU berkuatkuasa kelak. Justeru itu, RUU ini boleh dikatakan pembuka jalan kepada sebahagian hukuman hudud.



2.      Kesan ke atas orang Bukan Islam

Orang Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana
Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.
Jadi timbulnya spekulasi bahawa orang Bukan Islam akan turut samada terkesan dengan pindaan Akta 355 adalah gimik semata-mata untuk menakutkan mereka. Rakyat perlu diberi penjelasan yang betul mengenai objektif dan kesan pindaan Akta 355 sebelum mereka memilih untuk menyokong atau menentang penggubalan Rang Undang-Undang 355.



Kesimpulannya, Penggubalan Rang Undang-Undang 355 merupakan satu langkah baik yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah gejala sosial yang semakin berleluasa di Negara kita. Hal ini kerana, hukuman yang sedia ada sudah tidak realistik dan relevan dengan situasi semasa. Dengan hukuman lebih tinggi, dapat menggerunkan masyarakat daripada melakukan perbuatan yang akhirnya menjerumuskan diri mereka kepada perbuatan zina, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi. Logiknya , jika orang yang membawa dadah sebanyak 15g diberi hukuman gantung sampai mati dikira sebagai setimpal kerana dikira sampah masyarakat, wajarkah orang yang berzina yang boleh mengundang banyak penyakit dan melahirkan anak tidak sah taraf hanya dikenakan hukuman maksimum penjara 3 tahun? Ringkasnya, pindaan Akta 355 ini bukanlah sahaja demi perlaksanaan hudud, akan tetapi pemindaan ini demi memperkasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

No comments:

Post a Comment