Thursday, 20 October 2016

Refleksi Individu - Minggu Keenam ( 18 Oct 2016 )

NUR SYAFIQA BT DZULKIFLI - 2015136587


Pada minggu ini, saya telah mempelajari tentang bagaimana masyarakat melayu peluk Islam, fasa penjajahan, kesan penjajahan terhadap ilmu, pendidikan, politik, undang-undang,ekonomi, agama dan hubungan kaum. Secara konklusinya pembelajaran pada minggu ini, saya amat tertarik dengan topik ILMU TASAWWUF. Secara jujurnya saya tidak mengetahui apa itu tasawwuf. Tasawwuf itu dapat didefinisikan bilamana kita solat atau beribadah, seolah-oleh kita melakukan ibadah itu seperti Allah melihat kita dan kita melihat Allah. Alam Melayu atau Tanah Melayu telah dijajah selama 445 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan Komunis. Apa yang membanggakan ialah tiada seorang pun yang dilaporkan murtad pada zaman penjajahan itu. Ini menunjukkan bahawa, manusia pada ketika itu memiliki ilmu keIslaman yang sangat kukuh dan keimanan mereka kepada Allah sangat kukuh. Maka, saya bernekad untuk menuntut ilmu selagi mana saya mampu sehingga akhir hayat saya.

ANIS SHAHIRAH BINTI MOHD SHAHADAN - 2015182001

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang bagaimana Islam datang ke Alam Melayu, fasa enjajahan dan kesan penjajahan kepada Tanah Melayu. Setelah diceritakan dengan lebih mendalam barulah saya fahami betapa hebatnya orang Melayu pada zaman dahulu. Struktur pemerintahan yang sangat teratur dan pengukuhan diri mengenai ilmu menTauhidkan Allah SWT membuatkan saya berasa takjub dan kagum dengan semangat orang Melayu dalam mendalami ilmu agama.Pencerahan daripada Ustazah juga telah menambahkan lagi ilmu saya tentang betapa sejak Alam Melayu lagi masyarakat kita sudah menerapkan Islam dalam pelbagai aspek baik dari segi cara menjual beli mahupun budaya. Hal ini sama sekali bertentangan dengan pengetahuan saya yang lalu mengenai wujudnya pengaruh Hindu Buddha yang kuat di Alam Melayu. Jika diteliti barulah kita tahu bahawa ini semua merupakan permainan Barat yang telah mengubah sejarah Bangsa Melayu kerana mereka sebenarnya takut dengan kekuatan Melayu. Oleh itu untuk melemahkan orang Melayu mereka menerapkan konsep agama perlu diasingkan daripada urusan dunia kerana kekuatan orang Melayu terletak pada keimanan terhadap Allah SWT.

Dengan ini saya berazam untuk mengubah persepsi saya mengenai masyarakat di Alam Melayu dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan mengenai sejarah orang Melayu supaya saya tidak mudah terpengaruh dengan ideologi Barat.


NUR AIN ADILLA BT ISMAIL - 2015134615

Alhamdulillah, pada minggu ini saya telah mempelajari bagaimana masyarakat melayu memeluk islam, fasa penjajahan, kesan daripada penjajahan tersebut dari segi aspek ilmu, pendidikan, politik, undang-undang, ekonomi, hubungan kaum dan agama. Namun, perkara yang paling menarik yang ingin saya kongsikan adalah berkenaan hikayat raja Pasai. Ustazah menceritakan peristiwa raja Pasai telah bermimpi bertemu Rasulullah. Melalui mimpi tersebut, Rasulullah meludah ke dalam mulut raja Pasai dan pada keesokannya raja Pasai dapat mengucap dua kalimah syahadah dan menghafaz 30 juzuk. Selepas 40 hari, datanglah Syeikh Ismail dari arab lalu mengislamkan baginda dan seluruh rakyatnya.  Hasil daripada penceritaan beliau, baru lah saya tahu bahawa alam Melayu merupakan satu-satunya alam yang bersanad terus daripada Rasulullah. Sebagai orang Melayu, seharusnya kita berbangga apabila mengetahui hal tersebut.  Ustazah gemar bercerita tentang peristiwa zaman lalu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu peristiwa- peristiwa sebegitu.

Oleh itu, saya berazam untuk menambahkan pembacaan saya bukan dalam bidang agama dan akademik sahaja, tapi juga cuba mencari cerita sejarah Melayu agar saya akan lebih memahami asal usul orang Melayu dan berbangga dengannya. AMIN!


HIDAYATUL FATIHAH BT AHMAD ROSNI - 2015140703

Pada minggu ini, ustazah telah memulakan kelas dengan satu cerita yang berlaku pada diri ustazah. Saya rasa terkesan juga apabila mendengarnya, saya baru mengetahui tujuan beragama itu. Kita juga hendaklah yakin dan solatlah dengan Allah dan Rasulullah. Dan paling penting Allah lah yang memberi petunjuk Hidayah kepada kita bukan kita sendiri. Kemudian Ustazah menceritakan kisah Hikayat Raja Pasai.  Kerajaan Pasai ialah kerajaan terawal yang menerima agama Islam. Saya juga baru tahu yang masyarakat  Melayu dahulu amat hebat dengan karya-karya nya, tetapi ditutupi oleh orang barat. Seterusnya, Ustazah menyambung bab 2 sehingga awal bab 3. Intipatinya ialah saya dapat lihat kesan penjajahan orang barat ke atas masyarakat melayu dari segi pendidikan, ilmu, ekonomi, undang-undang, dan lain-lain. Betapa banyak kesannya sehingga ke sekarang.

Maka saya berazam untuk menambah pengetahuan saya lebih mendalam mengenai masyarakat melayu dahulu, kerana mereka amat hebat dalam berkarya. Karya-karya mereka dapat menjadi sumber rujukan dan memberi contoh teladan kepada kita.Saya juga berharap saya lebih fokus dalam mempelajari ilmu agama terutamanya tasawuf.


NUR SYAZA BINTI ZULKIFLI - 2015182377 


Pada hari ini, Ustazah sekali lagi menegaskan tujuan kita beragama adalah salah satunya untuk menunaikan perjanjian kita dengan Allah pada alam roh lagi iaitu perjanjian azali. Kepentingan untuk kita memahami ajaran Islam – tiada paksaan di dalam Islam, adalah agar kita dapat saling menjaga kerohaniaan kita dengan Allah. Selain itu, kelas juga bersambung dengan perbentangan bab 2. Saya telah mempelajari bahawa pengaruh hindhu-Buddha tidak terlalu mempengaruhi cara hidup orang Melayu kecuali dari aspek kesenian. Saya juga telah Nampak dengan jelas bahawa betapa kesan penjajahan orang British dulu telah mempengaruhi banyak aspek-aspek kehidupan kita terutama dari segi pendidikan, ekonomi dan politik. Penjajah British telah membawa ideologi pluralistik di dalam kehidupan masyarakat tanah Melayu. Mereka telah menanamkan unsur-unsur secularism, dualism, materialism dan capitalism di dalam kehidupan penduduk Tanah Melayu. Sebagai contoh yang kita boleh nampak secara jelas sekali adalah dari aspek pendidikan di mana ilmu agama dan dunia telah dipisahkan dan ilmu agama tidak ditekankan terutama sekali ilmu tasawuf. Oleh dengan itu, saya berazam untuk lebih mendalami ilmu-ilmu agama terutama dari sudut tasawuf dan berusaha untuk menjadi memahami ajaran-ajaran Islam yang sebenar.


NOR ADLINA BINTI MOHD ZAINURI - 2015140593

Pada hari ini, sesi pembentangan Topik 2 telah disambung semula sehingga selesai dan sub-topik awal dari Topik 3: Perlembagaan Persekutuan Tiang Seri Hubungan Etnik, juga telah mula dibentangkan. Daripada ini, saya telah mempelajari bahawa sebelum dijajah, Tanah Melayu sebenarnya kukuh dalam ilmu tauhid dan tasawufnya. Apabila dijajah oleh British terutamanya, British telah menggelapkan ilmu tasawuf ini daripada umat Islam kerana British tahu bahawa ini adalah kekuatan umat Islam. Daripada topik 2, dapat disimpulkan bahawa kesan daripada fasa-fasa penjajahan yang telah berlaku, telah wujudnya sistem sekularisme, dualisme, materialisme, dan kapitalisme di Tanah Melayu dalam segenap aspek. Ustazah pula ada menceritakan tentang Hikayat Raja Pasai dan mengatakan bahawa kedatangan Islam merupakan kemuncak kepada pluraliti di Alam Melayu kerana Islam datang membawa konsep al-Fathu, pembukaan, dan tiada paksaan, sedangkan British datang dengan konsep imperial dan kolonial.

Maka dengan itu saya berazam untuk lebih peduli dan ambil tahu berkenaan Alam Melayu ini serta menambah ilmu tauhid dan tasawuf.



AIDA RASYIQAH BINTI MANSOR - 2015116229

Pada minggu ini saya telah mempelajari bahawa sejarah Alam Melayu adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh bangsa Melayu sendiri terutama dengan cara bagaimana agama Islam telah tersebar ke Alam Melayu. Seperti yang telah dimaklumkan di dalam kelas, saya mengetahui hikayat ini ada diceritakan di dalam Hikayat Raja Pasai. Saya juga mendapat inspirasi akan konteks-konteks keagamaan dan sejarah Melayu yang dikongsikan oleh ustazah sendiri di dalam kelas dan juga pengenalan beberapa buah buku yang patut saya kaji dan pelajari.

Maka dengan itu, saya berazam untuk lebih menghargai sejarah Melayu dan berazam untuk mencari dan mempelajari semula mengenai sejarah Melayu yang telah hilang akibat arus zaman.

No comments:

Post a Comment